Sunday 17 April 2011

Matlamat Hidup Dan Peperiksaan

Assalamualaikum WBT ana ucapkan buat semua sahabat-sahabat pembaca yang dirahmati dan dikasihi Allah swt. Pada kesempatan ini ingin ana berbicara tentang apakah matlamat kita sebenarnya hidup di dunia ini dan lebih khusus kepada peperiksaan memandangkan peperiksaan akhir semester sudah semakin hampir bagi semua pelajar di seluruh negara.

Memetik daripada surah Adz-Dzaariyaat ayat 56, Allah berfirman "Dan ingatlah Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu". Allah mengingatkan tujuan sebenar kita dihidupkan di atas muka bumi ini adalah untuk beribadat kepadaNya. Justeru itu, marilah sama-sama kita mengingatkan diri kita tentang tanggungjawab kita semua sebagai muslim di bumi Allah ini.


Dalam kita sibuk dengan mengulangkaji pelajaran memandangkan musim peperiksaan semakin hampir, jangan kita lupa tugas dan tanggungjawab kita yang lebih besar kepada Allah swt. Ana terlebih dahulu mengingatkan diri ana supaya menjaga solat fardhu, memperbanyakkan solat sunat Hajat, puasa sunat dan amalan-amalan harian yang lain di samping kita mengulangkaji pelajaran supaya amalan kita seimbang dunia dan akhirat. Dengan ini, hati kita akan sentiasa tenang dan tidak gelisah memikirkan peperiksaan yang akan ditempuhi selain ilmu yang  kita pelajari mendapat keberkatan dari Ilahi.

Ana nak tegaskan di sini bahawa menuntut ilmu adalah salah satu ibadat kepada Allah swt dan ianya adalah wajib bagi setiap muslim dan merupakan amanah dari Allah. Maka dengan itu, kita patut bersungguh-sungguh dan menunjukkan yang terbaik dalam setiap perkara agar kita akan lebih berjaya di dunia dan di akhirat. Kesedaran dari dalam diri amat penting untuk kita berubah dari yang biasa ke arah yang lebih baik supaya matlamat hidup kita akan tercapai seperti dalam firman Allah di atas.

Marilah kita sama-sama mengubah hala tuju kita demi mencapai yang terbaik di dalam setiap perkara yang kita lakukan. Kita tidak akan berubah sekiranya kita sendiri tidak mengubah diri kita ke arah yang lebih baik.


Allah s.w.t telah berfirman dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 yang maksudnya“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”.

Kepada sahabat-sahabat yang akan menempuhi peperiksaan tidak lama lagi, ana ucapakan selamat berusaha dan semoga berjaya mendapat keputusan yang cemerlang. Mudah-mudahan Allah swt memberkati usaha dan penat lelah yang kita lakukan demi mencapai keredhaanNYA dan ibu bapa kita yang tercinta...InsyaAllah...